POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar sepasukan pegawai penyiasat ke Indonesia bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) yang didakwa menyeludup dadah ke negara berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu sedang diselaraskan dengan pihak berkuasa negara berkenaan, ketika pihaknya berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes terbabit.
“Kami sedang membuat persiapan untuk menghantar pegawai penyiasat ke Jakarta.
“Ia untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia dan membantu siasatan yang sedang kami jalankan,” katanya di ibu negara hari ini.
Media sebelum ini melaporkan juruterbang itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca.





