Anthony Loke lepaskan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke melepaskan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan berikutan kekalahan parti itu di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah dan Repah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan itu berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai mengambil tanggungjawab atas prestasi parti dalam PRN Negeri Sembilan.

Anthony bagaimanapun menegaskan keputusan itu diambil atas dasar peribadi tanpa tekanan mana-mana pihak.

“Tiba masa untuk saya berundur sebagai Pengerusi Negeri dan menyerahkan kepada pimpinan negeri untuk melantik dan memilih daripada Ahli Jawatankuasa sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di  ibu negara malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan Penasihat parti, Lim Guan Eng. Gobind dalam sidang media itu memberitahu bahawa CEC sebulat suara mahu Anthony kekal sebagai Setiausaha Agung parti.

Gobind turut mengumumkan kongres DAP akan diadakan pada 16 Ogos depan, dan usul sama ada DAP kekal atau tidak dalam kerajaan akan dibentangkan kepada para perwakilan.

Anthony sebelum ini memaklumkan beliau akan mempertimbangkan keputusan untuk berundur sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas kalah di Chennah yang disandangnya sebelum ini.

Beliau tewas di DUN Chennah kepada calon MCA, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi, sekali gus menamatkan kerusi DUN dipegang beliau sejak tiga penggal lalu.

Anthony sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak dari 2004 hingga 2013 dan mewakili Chennah mulai 2013. Beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Seremban selama tiga penggal.

Dalam PRN Negeri Sembilan Sabtu lalu, DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi. DAP turut kehilangan kerusi DUN Repah, apabila S Veerapan tewas tipis kepada calon Barisan Nasional (BN), Koh Kim Swee dengan majoriti 444 undi.

Ketua Wanita DAP, Nicole Tan Lee Koon hari ini mempertahankan Anthony yang disifatkan beliau masih individu paling layak untuk terus menerajui DAP negeri, dan prestasinya tidak wajar diukur berdasarkan keputusan PRN Negeri Sembilan ke-16.

Menurut Nicole, kekalahan DAP di kerusi DUN Chennah dan Repah perlu dilihat dalam konteks landskap politik semasa yang menyaksikan penyatuan sokongan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img