‘Jangan buat pembelian panik, bekalan makanan negara masih mencukupi’’ – Mat Sabu

KERAJAAN  tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat supaya meningkatkan pembelian atau membuat simpanan tambahan, memandangkan kedudukan bekalan semasa masih terkawal.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan barangan keperluan secara berlebihan, memandangkan bekalan makanan negara ketika ini masih mencukupi.

Katanya, bekalan beras negara mempunyai simpanan sehingga enam bulan, manakala bekalan ikan pula mampu bertahan sehingga lapan bulan.

Kerajaan sentiasa memantau kedudukan bekalan makanan menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan rakyat terus terjamin.

“Ini merupakan sebahagian daripada persediaan dan ikhtiar yang kita lakukan. Sekiranya berlaku perubahan cuaca yang di luar jangkaan, kita akan mengambil langkah sewajarnya mengikut keadaan ketika itu.

Bagaimanapun, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada rakyat untuk membuat stok simpanan makanan. Perdana Menteri juga semalam menegaskan bahawa langkah itu belum diperlukan dan orang ramai boleh meneruskan pembelian seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Himpunan Semarak Tani@Jualan Agro Madani Mega di Kolej Vokasional Melaka Tengah, di Melaka.

Terdahulu, media melaporkan terdapat laporan daripada Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyarankan pengguna menyediakan stok makanan dan barangan keperluan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik global dan bencana alam.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan program Jualan Agro MADANI dan Semarak Tani di seluruh negara bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Usaha itu selaras dengan saranan Belanjawan yang dibentangkan pada Oktober lalu bagi memperluas pelaksanaan program berkenaan dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here