MALAYSIA mencatat peningkatan dua anak tangga apabila menduduki tempat ke-40 daripada 133 negara dalam Indeks Chandler Good Government (CGGI) 2026.
Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu merupakan perkembangan positif yang perlu dijadikan pemangkin kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus mempergiat agenda reformasi.
“Kemajuan ini sebagai dorongan kepada seluruh warga perkhidmatan awam untuk memperhebat reformasi dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan serta memudahkan urusan rakyat dan perniagaan, selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Sei Anwar Ibrahim.
“Melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), setiap kementerian dan jabatan mesti terus memperhebat pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi dengan lebih berani dan radikal menerusi pendekatan penyelesaian serta-merta,” katanya.
Pelaksanaan usaha itu perlu mengutamakan penyelesaian segera, mempercepat tindakan serta memastikan integriti terus dipelihara dalam setiap keputusan.





