Polis sahkan identiti lima mangsa Ford Raptor dihempap pokok tumbang

POLIS mengesahkan identiti lima mangsa kemalangan yang turut mengorbankan empat individu selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah di Bentong hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah pemandu pacuan empat roda, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 34, dan penumpang belakang, Mohd Radzi Rahimi, 40.

Beliau berkata, penumpang hadapan kenderaan itu, Nuraini Mohammad Jafri, 36, dan Muhammad Rizz Hazim Mohd Radzi, 5, yang dipangkunya turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

“Seorang lagi mangsa, Muhammad Rizz Haziq Mohd Radzi berusia lima tahun yang juga penumpang belakang cedera,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Media hari ini melaporkan, empat individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka ditimpa pokok tumbang di Jalan Lama Gombak-Bentong berhampiran Genting Sempah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kenderaan jenis Ford Raptor yang dinaiki lima individu berkenaan dihempap pokok.

Turut dilaporkan, Allahyarham Mohd Radzi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran antara empat yang disahkan maut dalam kejadian itu.

Selain Mohd Radzi, tiga lagi yang maut adalah isterinya, Nuriani, seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim dan adik ipar, Mohammad Nizam.

Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan parah dan menerima rawatan awal di Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img