SEORANG warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Sidoarjo, Surabaya.
Suspek ditahan di Terminal 2 selepas tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya, menurut pihak berkuasa semalam.
Hasil pemeriksaan menemui empat bungkusan mengandungi sejumlah 990 gram syabu serta empat lagi bungkusan mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disorok di bawah korset yang dipakai suspek.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku bersetuju menjadi keldai dadah untuk satu rangkaian pengedaran dadah antarabangsa kerana berdepan masalah kewangan dan menanggung hutang, lapor Jakarta Globe.
Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, suspek cuba menyembunyikan dadah tersebut di bawah korset bagi mengelak dikesan ketika pemeriksaan, namun cubaan itu berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa.
Nilai rampasan dianggarkan sekitar Rp2.79 bilion (kira-kira RM790,000), dan pihak berkuasa percaya tindakan itu berjaya menghalang bekalan dadah daripada sampai kepada kira-kira 6,584 pengguna.
Suspek bersama semua bahan bukti telah diserahkan kepada Polis Sidoarjo untuk siasatan lanjut, termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai terlibat.
Jika disabitkan kesalahan mengikut undang-undang Indonesia, DI berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Rampasan di Lapangan Terbang Juanda itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial dari Malaysia turut ditahan kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Juruterbang berkenaan, yang dikenali dengan inisial MS, ditahan pada 28 Julai selepas pegawai kastam mengesan sesuatu yang mencurigakan dalam bagasinya menerusi imbasan sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Pemeriksaan lanjut menemui 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram yang dibungkus dalam 14 bungkusan, selain 2.7 gram syabu di dalam sebuah beg galas hitam.
Menurut pihak berkuasa, MS mendakwa diarahkan oleh seorang individu untuk membawa dadah tersebut ke Jakarta dengan upah RM50,000. Dia juga dijangka menerima arahan lanjut daripada seorang kenalan di Malaysia sebelum menyerahkan dadah itu kepada penerima di sebuah hotel di Jakarta.
Polis turut memaklumkan bahawa MS mengaku pernah melakukan dua operasi penyeludupan dadah sebelum ini, termasuk membawa syabu ke Sabah dan kemudian menyeludup kira-kira 7 kilogram syabu ke Jakarta.
SEMENTARA itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan polis akan mengambil tindakan susulan berhubung kes terbaharu itu.
“Ya. JSJN Bukit Aman juga akan membuat tindakan susulan terhadap kes ini,” katanya kepada New Straits Times.






