SPRM syor Perkim perkemas pengurusan pelaburan, penyewaan premis

PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) disaran memperkemas prosedur pengurusan pelaburan dan penyewaan premis miliknya bagi memastikan setiap urusan organisasi dilaksanakan secara lebih telus, teratur serta mematuhi tata kelola ditetapkan.

Syor itu dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menerusi Cawangan Penyiasatan Tata Kelola hasil penyiasatan terhadap sistem, amalan dan tata cara pengurusan pertubuhan berkenaan.

Antara penambahbaikan dicadangkan adalah mewujudkan prosedur rasmi pengurusan pelaburan yang merangkumi penilaian risiko serta penelitian wajar (due diligence) terhadap setiap cadangan pelaburan sebelum sebarang keputusan dibuat.

DATUK Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar (kiri) menunjukkan Laporan Penambahbaikan Tata Kelola bersama Mohamad Zakkuan Talib di ibu pejabat Perkim Kebangsaan di Bangunan Perkim di Kuala Lumpur semalam. GAMBAR: SPRM

SPRM turut mencadangkan supaya Perkim menyediakan tatacara khusus bagi urusan penyewaan premis miliknya, selain menyeragamkan proses pelantikan syarikat perunding dengan mengkategorikannya sebagai pembekal perkhidmatan.

Langkah itu bertujuan memastikan pelantikan syarikat perunding mematuhi prosedur pelantikan pembekal yang telah ditetapkan organisasi.

Ketiga-tiga syor berkenaan dibentangkan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kuala Lumpur, Nor Faemah Ismail pada sesi pembentangan di Ibu Pejabat Perkim Kebangsaan di Kuala Lumpur semalam.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, usaha memperkukuh tata kelola tidak seharusnya dilihat sebagai tambahan beban birokrasi, sebaliknya satu langkah strategik bagi melindungi kepentingan organisasi.

Menurutnya, pelaksanaan penambahbaikan itu mampu memelihara reputasi, melindungi sumber kewangan serta meningkatkan kecekapan operasi sesebuah organisasi.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat dan komitmen berterusan semua pihak bagi memastikan usaha pencegahan serta pembanterasan rasuah dapat diperkasakan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar menyambut baik syor berkenaan dan menyifatkannya sebagai panduan untuk meningkatkan tahap integriti serta kecekapan pengurusan pertubuhan itu.

Beliau berkata, Perkim sentiasa berusaha memastikan setiap urusan organisasi dilaksanakan berlandaskan prinsip amanah, ketelusan dan integriti.

“Kalau ada kesalahan, kita terima dan perbetulkan. Kita tidak mahu kelemahan yang berlaku sebelum ini terus menjadi beban kepada pengurusan semasa,” katanya.

Pada sesi berkenaan, kedua-dua pihak turut menandatangani Laporan Penambahbaikan Tata Kelola yang disempurnakan oleh Mohamad Zakkuan dan Mohamad Marzuki.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here