JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 81 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan di Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.
Operasi yang dijalankan hasil risikan serta maklumat awam itu menyasarkan warga asing yang dipercayai melakukan pelanggaran undang-undang imigresen.
JIM Kedah dalam kenyataan memaklumkan, operasi bermula kira-kira jam 9.50 pagi itu disertai 19 pegawai daripada Unit Tindakan Imigresen, Bahagian Penguat Kuasa JIM Kedah.
Menurut kenyataan itu, seramai 127 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing diperiksa sepanjang operasi dijalankan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seramai 81 pendatang asing tanpa izin ditahan bagi membantu siasatan.
“Mereka terdiri daripada 73 lelaki dan lapan wanita membabitkan 42 warga Bangladesh, 10 warga Myanmar, 26 warga Indonesia, seorang warga Pakistan dan dua warga India,” katanya.
Menurut JIM Kedah, semua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Antara kesalahan dikesan termasuk memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
Dalam operasi sama, satu Saman Kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Semua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Depot Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
JIM Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan tanpa kompromi bagi membanteras kehadiran PATI di negeri itu.
Katanya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji, melindungi atau memberi perlindungan kepada warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehadiran PATI atau pelanggaran undang-undang imigresen boleh menghubungi JIM Kedah menerusi talian 04-7333302, e-mel aduanpati.kdh@imi.gov.my atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).






