Imigresen Kedah tahan 42 PATI, hasil gempur 10 premis di Kota Star dan Kubang Pasu

SERAMAI 42 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menerusi Ops Sapu, Ops Jaja dan Ops Selera yang dijalankan di sekitar daerah Kota Setar dan Kubang Pasu selama dua hari bermula semalam.

JIM Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, operasi penguatkuasaan yang berlangsung pada 29 hingga hari ini dilaksanakan hasil maklumat risikan serta aduan awam berhubung kehadiran dan aktiviti warga asing tanpa izin di premis terbabit.

Menurut kenyataan itu, operasi membabitkan 21 pegawai Unit Tindakan Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Kedah dan bermula pada jam 10 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas 10 premis di lokasi sasaran mendapati seramai 87 individu diperiksa membabitkan warga Malaysia, Myanmar, Vietnam, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.

“Daripada jumlah itu, seramai 42 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini, tinggal melebihi tempoh sah laku pas, menyalahgunakan pas lawatan atau pas kerja, gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan serta melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Kesemua tangkapan membabitkan tujuh lelaki warga Bangladesh, 16 warga Indonesia terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita, tiga warga Thailand terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita serta 16 warga Myanmar terdiri daripada 13 lelaki dan tiga wanita.

“Semua individu berusia antara 22 hingga 54 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Sepanjang operasi sama, pihak imigresen turut mengeluarkan empat Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan.

JIM Negeri Kedah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI dan memastikan semua individu yang berada di negara ini mematuhi undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img