KRISIS bekalan global terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat apabila kenaikan harga serta gangguan bekalan barangan asas memaksa pengguna dan peniaga mengubah corak perbelanjaan harian.
Tinjauan mendapati walaupun kebanyakan responden mengakui bekalan keperluan asas masih boleh diperoleh, mereka berharap kerajaan terus memperkukuh pemantauan harga, memastikan bekalan tidak terputus dan memperluaskan bantuan kepada rakyat.
Peniaga makanan, Yusliza Nor Hussain, 45

Soalan: Bila dengar tentang Krisis Bekalan Global, adakah ia memberi kesan kepada kehidupan harian anda?
Jawapan: Memang sangat terasa terutama sebagai peniaga. Bekalan minyak masak, telur, gula, beras dan cili kering pernah beberapa kali terputus. Bila stok tiada, terpaksa mencari di banyak kedai dan membeli sebanyak mungkin untuk simpanan. Harga pula sering berubah secara mendadak sehingga menjejaskan bajet perniagaan.
Soalan: Adakah anda melihat Kerajaan mengambil langkah yang sesuai untuk mengurus kesan krisis ini? Mengapa?
Jawapan: Masih ada ruang untuk diperbaiki kerana kenaikan harga bahan mentah berlaku terlalu cepat sehingga menyukarkan peniaga merancang kos operasi.
Soalan: Pada pendapat anda, apa lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan rakyat untuk menghadapi krisis ini bersama?
Jawapan: Pastikan bekalan barang asas sentiasa mencukupi dan harga lebih stabil supaya peniaga tidak perlu menaikkan harga makanan kepada pelanggan.
Peniaga, Abdul Haliq Abdul Alim, 35

Soalan: Bila dengar tentang Krisis Bekalan Global, adakah ia memberi kesan kepada kehidupan harian anda?
Jawapan: Ada. Harga barang niaga seperti gandum, minuman dan barangan lain meningkat dalam tempoh singkat sehingga sekitar 10 peratus. Sebagai peniaga, walaupun mahal tetap perlu membeli kerana perniagaan perlu diteruskan.
Soalan: Adakah anda melihat Kerajaan mengambil langkah yang sesuai untuk mengurus kesan krisis ini? Mengapa?
Jawapan: Secara keseluruhan baik, tetapi penguat kuasa perlu lebih kerap memantau harga di setiap premis supaya tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.
Pesara, Ainol Azmi Anuar, 55

Soalan: Bila dengar tentang Krisis Bekalan Global, adakah ia memberi kesan kepada kehidupan harian anda?
Jawapan: Memang ada kerana kenaikan harga barang menyebabkan kos sara hidup meningkat. Dahulu RM150 boleh membeli satu troli barang, kini perbelanjaan jauh lebih tinggi untuk mendapatkan keperluan yang sama.
Soalan: Adakah anda melihat Kerajaan mengambil langkah yang sesuai untuk mengurus kesan krisis ini? Mengapa?
Jawapan: Kerajaan sudah melaksanakan beberapa inisiatif, namun penguatkuasaan harga perlu diperkasakan dengan pegawai turun padang bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan.
Pembeli, Abdul Mukmin Abdul Alim, 33

Soalan:Bila dengar tentang Krisis Bekalan Global, adakah ia memberi kesan kepada kehidupan harian anda?
Jawapan: Tidak begitu ketara, tetapi harga barang di pasar raya sering berubah-ubah. Ada minggu naik, ada minggu turun, menyebabkan pengguna sukar menjangka perbelanjaan.
Soalan: Pada pendapat anda, apa lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan rakyat untuk menghadapi krisis ini bersama?
Jawapan: Pihak berkuasa perlu lebih tegas memantau peniaga dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana premis yang menaikkan harga tanpa alasan munasabah.
Penduduk, Junainah Aris, 53

Soalan: Bila dengar tentang Krisis Bekalan Global, adakah ia memberi kesan kepada kehidupan harian anda?
Jawapan: Perbelanjaan isi rumah meningkat walaupun tidak semua barang naik. Ada barangan seperti ayam dan telur yang kini jauh lebih mahal berbanding dahulu.
Soalan: Apakah langkah kerajaan yang paling anda rasakan manfaatnya kepada rakyat?
Jawapan: Jualan Rahmah banyak membantu mengurangkan beban pengguna, namun kerajaan perlu memastikan hak rakyat terus dipelihara dan bekalan bersubsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
Suri rumah, Nor Hazlina Mohd Hashim, 47

Soalan: Bila dengar tentang Krisis Bekalan Global, adakah ia memberi kesan kepada kehidupan harian anda?
Jawapan: Memang ketara. Jika dahulu RM300 mampu memenuhi satu troli barang dapur, kini jumlah sama hanya mampu membeli sebahagian kecil keperluan.
Soalan: Adakah anda melihat Kerajaan mengambil langkah yang sesuai untuk mengurus kesan krisis ini? Mengapa?
Jawapan: Ada perkara yang baik dan ada yang masih perlu diperbaiki kerana harga barang berbeza antara satu kedai dengan kedai lain. Pengguna juga perlu bijak berbelanja dan mengelakkan pembaziran bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.






