PADAH menyalahgunakan nombor MyKad pelanggan bagi mendapatkan subsidi diesel BUDI MADANI tanpa kebenaran, seorang juruwang stesen minyak dihukum penjara lapan bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu, semalam.
Tertuduh, Khairul Haizad Herman, 27, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan identiti nombor MyKad milik seorang lelaki bagi menggunakan subsidi diesel BUDI MADANI tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya di Stesen Minyak Petronas Aman Jaya, Jalan Silam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 26 Julai lalu masing-masing pada jam 7.14 malam, 7.34 malam dan 8.30 malam, selain satu lagi transaksi pada 27 Julai lalu kira-kira jam 9.31 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu berusia 48 tahun dari Taman Semarak di sini menyedari kuota subsidi diesel BUDI MADANI yang didaftarkan menggunakan nombor MyKad miliknya telah digunakan tanpa pengetahuan selepas membuat semakan menerusi laman sesawang BUDI MADANI pada 30 Julai lalu.
Semakan mendapati berlaku empat transaksi pembelian diesel berjumlah 43.01 liter di stesen minyak berkenaan antara 26 hingga 27 Julai lalu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM99.78.
Pengadu memaklumkan tidak pernah kehilangan MyKad dan mengesyaki identitinya telah disalahgunakan oleh individu tidak dikenali bagi mendapatkan subsidi diesel tersebut.
Siasatan polis kemudian mendapati tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak berkenaan mengaku menggunakan nombor MyKad pengadu untuk melakukan empat transaksi tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.
Tertuduh ditahan pada 31 Julai lalu di pekarangan stesen minyak berkenaan bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Mohaideen memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam selain memberi mesej pencegahan kepada masyarakat.
Beliau turut memaklumkan kes itu dipercayai merupakan kes pertama seumpamanya di Sabah.
Bagaimanapun, tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan menjadi pencari nafkah tunggal keluarga selain perlu menjaga ibunya yang menghidap kanser.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan terhadap tertuduh, lapor Buletin TV3.






