KIRA-kira satu tan hasil laut dirampas selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di kedudukan 102 batu nautika timur laut Pelabuhan Kuantan, Isnin lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan ditahan pada jam 2.40 pagi.
Beliau berkata, penahanan itu dilakukan oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Makmur, Ops Naga, Ops Iman, Ops Tiris dan Ops Pelantar Merah.
“Ketika operasi penggeledahan dijalankan, berlaku tindakan agresif daripada kru vesel yang menyebabkan pergelutan. Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal hasil tindakan pantas dan profesional anggota Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh 18 kru warga Vietnam termasuk seorang tekong berusia antara 21 hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dan gagal melaporkan ketibaan di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
Menurutnya, kes itu turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran yang sah.
“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta, manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM600,000,” katanya.
Beliau berkata, vesel bersama kira-kira 1,000 kilogram hasil laut serta semua kru diiring ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Terengganu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil tangkapan dianggarkan melebihi RM6 juta.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing serta aktiviti perikanan haram.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.






