CENTRE to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) menggesa kerajaan memperjelaskan mandat, skop kuasa serta mekanisme pelaksanaan pasukan petugas khas antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan usaha menangani ketirisan hasil negara dilaksanakan secara telus dan berkesan.
Ketua Penyelidikan dan Advokasi Dasar C4 Center, Arief Hamizan berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu merupakan langkah positif, namun memerlukan garis panduan yang jelas bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab serta memastikan impak yang signifikan terhadap aspek penguatkuasaan dan tadbir urus.
Menurutnya, Malaysia juga memerlukan mekanisme ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh supaya agensi kerajaan dapat dipantau dengan lebih berkesan oleh masyarakat.
“Ini merupakan langkah positif, namun peranan, kuasa dan mekanisme pelaksanaannya perlu ditakrifkan dengan jelas.
“Garis panduan yang kukuh diperlukan bagi memastikan pasukan petugas itu beroperasi dengan berkesan, mengelakkan pertindihan tanggungjawab dan menghasilkan impak bermakna dalam menangani kelemahan penguatkuasaan serta tadbir urus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, saluran sedia ada untuk orang awam menuntut akauntabiliti daripada badan kerajaan masih terhad, manakala budaya kerahsiaan dalam birokrasi terus menjejaskan keyakinan awam.
Sehubungan itu, katanya, usaha memperkukuh penguatkuasaan perlu disokong dengan reformasi institusi yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi kerajaan.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah pengenalan undang-undang Kebebasan Maklumat serta penubuhan pejabat Ombudsman Persekutuan bagi menyiasat dan menyelesaikan aduan orang awam terhadap badan kerajaan.
Menurut Arief, kejayaan reformasi itu bergantung kepada sejauh mana kerangka pelaksanaannya menepati amalan terbaik antarabangsa bagi mewujudkan institusi awam yang lebih terbuka, responsif dan diyakini.
Minggu lalu, media melaporkan pengumuman penubuhan pasukan petugas khas SPRM-JKDM bagi menangani ketirisan hasil negara memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berkaitan skop kuasa, fokus operasi serta kaedah pelaporan hasil siasatan kepada umum.
Kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu dilihat mampu memperkukuh penguatkuasaan, terutama dalam menangani isu pengurusan kontena, penyeludupan, pemalsuan dokumen dan cubaan mengelak pembayaran cukai.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad ke ibu pejabat SPRM.
Menurut beliau, kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai cabaran operasi termasuk prosedur pemeriksaan kastam, kekangan birokrasi serta isu dalaman JKDM, selain membincangkan mekanisme bagi membendung ketirisan dalam pengurusan kontena di pelabuhan seluruh negara.






