PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan, parti komponen itu khususnya UMNO tidak akan berkompromi sekiranya terbukti berlaku penyelewengan, pecah amanah atau salah tadbir dalam Lembaga Tabung Haji (TH).
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pendirian itu kekal biarpun laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH hanya dijadual dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos depan.
“Pendirian BN dan UMNO, jika benar ada individu ataupun sekumpulan pihak yang melakukan penyelewengan atau pecah amanah atau melakukan kerja-kerja tadbir urus yang tidak selari dengan tata kelola sesebuah organisasi kerajaan, apatah lagi badan berkanun, maka akibatnya akan dihadapi oleh mereka.
“Saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, sekiranya laporan RCI itu hanya mengandungi syor, kerajaan akan meneliti dan membahaskannya terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan susulan yang wajar diambil.
“Jika berlaku sebaliknya, tentunya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu hanya mengemukakan syor. Apakah tindakan selanjutnya akan dilakukan, kita akan bahaskan dan bincangkan pada 11 Ogos di Dewan Rakyat,” katanya.
Media semalam melaporkan lebih 35 Ahli Parlimen dijangka mengambil bahagian dalam sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI berkaitan TH.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat telah bersetuju supaya sidang khas itu diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat bagi membolehkan lebih ramai Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan.
Beliau berkata, setakat ini dianggarkan antara 35 hingga 40 Ahli Parlimen sudah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan laporan RCI berkenaan.






