HELAH menyembunyikan minuman keras dalam ruang rahsia di bawah bonet belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai terbongkar selepas dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.01 tengah hari pada 27 April lalu, kenderaan terbabit dikesan ketika menunggu giliran menaiki feri RORO di Terminal Feri Kenderaan Labuan untuk ke Menumbok, Sabah.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 72.5 liter minuman keras pelbagai jenama disorokkan dalam ruang khas yang dibina di bahagian bawah bonet belakang kenderaan itu.
“Minuman keras itu dipercayai cuba diseludup keluar dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa pengikraran dengan cara menyembunyikannya dalam ruang yang telah diubah suai.
“Nilai rampasan dianggarkan RM128,090, manakala jumlah duti dan cukai sebanyak RM6,066.48, menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah RM134,156.48,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, taktik digunakan adalah dengan membina ruang khas pada kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) hingga maksimum 20 kali ganda atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Aspalila berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyeludupan kerana bukan sahaja merugikan hasil negara, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran,” katanya.


