SEORANG pelakon wanita bersama tiga individu didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membabitkan kejadian dua tahun lalu.
Pelakon drama, Farah Wahida Zainuddin, 44, dan rakannya, Mohd Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Di mahkamah berasingan, Lim Sue Peng, 54, dan Lim Sian Tze, 54, turut mengaku tidak bersalah selepas masing-masing berdepan lima dan lapan pertuduhan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Farah Wahida selaku Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn. Bhd., Sue Peng selaku Pengarah Zfinity dan Sian Tze yang memiliki syarikat LST Concept Marketing didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen PERKESO bagi tujuan tuntutan insentif di bawah program berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Off Jalan Gombak, Jalan Sungai Besi, Taman Sri Sinar, Segambut antara 29 Mac hingga 2 Oktober 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mohd Nizam pula didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Farah Wahida melakukan kesalahan sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nazreena Zainudin.
Farah Wahida diwakili peguam Zulkifli Awang, manakala Ahmad Faruq Sidik mewakili Sian Tze dan S. Kirthen mewakili Sue Peng.
Mahkamah membenarkan Farah Wahida diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan, manakala Mohd Nizam dibenarkan diikat jamin RM6,000.
Sue Peng pula dibenarkan diikat jamin RM35,000, manakala Sian Tze RM48,000, masing-masing dengan seorang penjamin.
Kesemua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan supaya melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.






