PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengemukakan surat rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) Isnin depan bagi memohon Datuk Mohd Azizulhasni Awang disenaraikan semula dalam program Road to Gold (RTG) sekiranya ingin pelumba itu beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh berkata, PKBM akan mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin bagi mendapatkan sokongan penuh terhadap kempen kelayakan jaguh berbasikal trek negara itu.

Menurut beliau, PKBM berdiri teguh di belakang jaguh berbasikal trek negara itu dan percaya pemenang pingat perak Olimpik itu masih mempunyai misi yang belum selesai di pentas tertinggi itu.
“Saya sudah berbincang dengan Datuk Azizul dan pendirian saya tidak pernah berubah sejak beliau menang di Piala Dunia di Perth dan kemudian di Nilai. Saya percaya dia perlu diberi peluang untuk terus berjuang sehingga Los Angeles kerana tugasnya masih belum selesai.
“Kita dapat lihat sendiri di Sukan Komanwel, beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis penganugerahan The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn (Kelas Kelima – Benjama Direkgunabhorn) kepada tokoh berbasikal negara, Tan Sri Darshan Singh Gill di ibu negara hari ini, lapor Buletin TV3.
Amarjit berkata, Azizulhasni memerlukan keseluruhan ekosistem sokongan termasuk daripada KBS, MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan RTG bagi menghadapi kempen kelayakan Olimpik yang lebih mencabar.
Katanya, selepas Sukan Olimpik Paris 2024, Azizulhasni dikeluarkan daripada program RTG dan keadaan itu perlu dinilai semula sekiranya pelumba berusia 38 tahun itu mahu memburu tiket ke Los Angeles.
“Jika beliau menjadi atlet kita menuju Los Angeles, penting untuk memastikan dia mendapat semua sistem sokongan daripada ISN, MSN dan RTG termasuk pembiayaan bagi menyertai Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia, Piala Dunia serta perlumbaan kategori C1 dan C2 kerana sistem kelayakan kali ini berbeza.
“Sebab itu selepas tamat Kejohanan BMX Asia, saya akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pengarah MSN bagi menyatakan hasrat PKBM supaya Datuk Azizul meneruskan perjuangan ke Los Angeles 2028,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan dan MSN juga perlu menyatakan pendirian dengan jelas bahawa khidmat Azizulhasni masih diperlukan supaya pelumba itu mempunyai keyakinan untuk meneruskan kariernya.
“Jika tanya saya, jauh di sudut hati dia memang mahu beraksi di Olimpik sekali lagi, tetapi dia mahu memastikan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak. Saya sudah beritahu kepadanya bahawa PKBM akan memberikan sokongan sepenuhnya.”
Mengenai status Azizulhasni yang kini bergerak secara profesional selepas tidak lagi bersama skuad kebangsaan, Amarjit berkata, PKBM bersikap terbuka dan akan menghormati keputusan pelumba berpengalaman itu.
“Beliau bukan lagi atlet muda. Apa yang penting adalah apa juga bentuk persiapan yang dipilih mestilah memberi manfaat kepadanya. Kami fleksibel dalam perkara itu kerana keutamaan kami adalah memastikan beliau berada pada tahap terbaik untuk memburu tiket ke Olimpik Los Angeles 2028,” katanya.






