Rangka manusia bersama motosikal ditemukan dalam longkang

MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak 29 Julai lalu akhirnya terungkai apabila rangka dipercayai miliknya ditemukan bersama sebuah motosikal di dalam longkang di Kilometer 155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, Bagan Datuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintenden Mohammad Ali Mohd Jali berkata, penemuan itu disedari pekerja pembersihan yang sedang menjalankan kerja memotong rumput selepas terhidu bau busuk kira-kira jam 3.39 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terbabit dalam kemalangan jalan raya sebelum motosikal yang ditungganginya terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di lokasi kejadian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Teluk Intan menghala ke Sabak Bernam sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

“Mangsa dipercayai tidak menerima sebarang bantuan sehingga kejadian itu disedari oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Ali berkata, pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa barangan peribadi dipercayai milik mangsa termasuk telefon bimbit, pasport Malaysia dan wang tunai.

Katanya, semakan lanjut mendapati ahli keluarga mangsa telah membuat laporan orang hilang di Balai Polis Teluk Intan pada 5 Ogos lalu.

“Hasil siasatan awal percaya rangka manusia itu adalah milik seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai 2026,” katanya.

Beliau berkata, mayat telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan proses pengecaman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Normah Abu Hassan di talian 010-5364619 bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img