Tiga anggota maut renjatan eletrik : Saifuddin arah siasatan segera, menyeluruh

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan siasatan segera, menyeluruh dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Beaufort, Sabah, semalam.

Beliau berkata, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi siasatan itu perlu ditangani segera selain langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Saya telah mengarahkan siasatan segera dilakukan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi ini.

“Sebarang kelemahan yang dikesan perlu ditangani serta-merta dan langkah penambahbaikan mesti dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga anggota yang terkorban iaitu Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Koperal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.

Beliau berkata, pemergian ketiga-tiga anggota berkenaan merupakan satu kehilangan besar kepada warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ketiga-tiga mereka telah mencurahkan bakti kepada agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat warga KDN,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan itu serta segala urusan mereka dipermudahkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, tiga anggota polis itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang kira-kira 29 kaki yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston di Beaufort, Sabah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img