PENAHANAN seorang lelaki warga Hong Kong bersama kira-kira satu kilogram kokain yang disembunyikan dalam kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong Rabu lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket penyeludupan dadah yang terbongkar di Brickfields, baru-baru ini.
Perkembangan itu menyusul selepas pihak berkuasa Hong Kong menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan suspek berkenaan yang dipercayai membawa dadah dari Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah menerima perkongsian maklumat daripada pihak berkuasa negara berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, hasil maklumat awal mendapati kokain itu dipercayai bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya negara ini digunakan sebagai lokasi transit sebelum dadah berkenaan dihantar ke destinasi lain.
“Mereka ada berkongsi butiran berhubung tangkapan itu. Kokain terbabit dipercayai bukan berasal dari Malaysia sebaliknya negara ini dijadikan sebagai transit sebelum diseludup ke negara lain melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Menurut Hussein, polis percaya penahanan terbaharu itu mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Hong Kong yang diberkas di Brickfields pada 5 November lalu kerana disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan berkenaan di Malaysia.
Katanya, persamaan modus operandi, jenis dadah dan destinasi penghantaran mengukuhkan kemungkinan wujud kaitan antara kedua-dua kes terbabit.
Antara negara yang dipercayai menjadi destinasi penghantaran dadah berkenaan ialah Hong Kong, Jepun dan Indonesia.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas pemeriksaan kastam menemukan kira-kira satu kilogram kokain yang disembunyikan dalam kasut dipakainya.
Kastam Hong Kong dalam kenyataan memaklumkan, lelaki itu ditahan ketika menjalani pemeriksaan selepas tiba di lapangan terbang berkenaan pada Rabu lalu.





