BN perlu jelaskan pencapaian manifesto PRN Melaka 2021 – Adly

BARISAN Nasional (BN) perlu menjelaskan pencapaian manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 sebelum mengemukakan tawaran baharu pada PRN kali ini, khususnya berkaitan peluang pekerjaan, penyediaan ambulans dan pemberian air percuma.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari berkata manifesto BN pada PRN lepas, antara lain menjanjikan penyediaan 10,000 peluang pekerjaan setahun atau 50,000 dalam tempoh lima tahun, namun tawaran terbaharu parti itu hanya menyasarkan 25,000 peluang pekerjaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata pengurangan sasaran itu menimbulkan persoalan mengenai pencapaian janji terdahulu, yang sepatutnya menjadi asas kepada tawaran baharu kepada rakyat.

“Janji yang lama itu perlu ditunaikan sebelum janji baharu boleh dikemukakan. Sepatutnya ada peningkatan, tetapi kenapa dikurangkan sebanyak 50 peratus?” kata bekas Ketua Menteri Melaka itu pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH Bukit Baru, di Melaka hari ini.

Adly turut membangkitkan janji BN sebelum ini untuk menyediakan ambulans percuma di setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun), sedangkan manifesto terbaharu parti itu hanya menawarkan sebuah ambulans bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil itu berkata keperluan ambulans adalah antara kemudahan penting kepada rakyat, justeru pencapaian janji terdahulu perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan janji BN mengenai penggunaan air domestik secara percuma bagi penggunaan di bawah 20 meter padu sebulan, kerana inisiatif berkenaan telah dilaksanakan ketika PH mentadbir Melaka pada 2018.

“Dengan adanya Empangan Sungai Jernih pada masa akan datang, kapasiti bekalan air negeri dijangka meningkat, dan sepatutnya membuka ruang kepada tawaran kebajikan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Mengulas tawaran PH pula, Adly berkata gabungan itu menggariskan tiga teras utama dan 12 aspirasi menerusi tema “Melaka Rumah Kita”, termasuk menyediakan pilihan kediaman selesa melalui skim perumahan mesra rakyat.

Beliau berkata sekiranya PH diberi mandat oleh rakyat pada PRN kali ini, pelaksanaan dasar perumahan di negeri itu akan mengambil kira keperluan golongan yang tidak berkemampuan membeli rumah, selain membantu pembeli rumah pertama serta menyediakan kediaman sewaan pada kadar lebih rendah.

“Golongan B40 bukan sekadar berdepan kesukaran membeli rumah, malah ada yang tidak mampu memiliki kediaman kerana pendapatan mereka hanya mencukupi untuk keperluan harian.

“Ketika PH mentadbir negeri selama 22 bulan, hampir 200 unit rumah sewa berjaya disediakan dan jumlah unit yang ditawarkan sesuai dengan keperluan rakyat dan kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika itu,” katanya.

Adly turut menyentuh kepentingan meneruskan inisiatif Dana Harta Bumiputera yang diwujudkan menerusi Amanah Finance House bagi membantu pembelian rumah dan menyediakan pembiayaan perniagaan perusahaan mikro untuk bumiputera.

“Lebih RM30 juta telah diluluskan di bawah dana berkenaan, dan saya berpendapat dana berkenaan perlu diteruskan pada masa hadapan kerana memperkukuh ekonomi bumiputera adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan negeri, selain mengharapkan bantuan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here