JABATAN Peguam Negara (AGC) menjelaskan 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Nicky Liow ditarik balik pada 2023 selepas ahli perniagaan itu membayar kompaun RM10 juta.
Dalam satu kenyataan, AGC memberitahu, Liow melalui peguamnya Messrs Rajpal, Firah & Vishnu mengemukakan representasi bertarikh 15 Dis 2022 dan 6 April 2023 yang memohon semua 26 pertuduhan terhadapnya dikenakan kompaun di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Berdasarkan keseluruhan keterangan sedia ada, penilaian dan pertimbangan pendakwaan, jabatan ini bersetuju menawarkan kompaun sebanyak RM10 juta. Jumlah tersebut telah dipersetujui Liow dan telah dibayar pada 29 Mei 2023.
“Penyelesaian ini juga merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 dan pelucuthakan harta disita,” kata AGC sebagai respons kepada 30 pertubuhan masyarakat sivil yang mempersoalkan mengapa Liow dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Pada April 2022, Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta.
Dia bersembunyi selama setahun antara 2021 dan 2022, selepas polis melancarkan operasi besar-besaran terhadap kumpulan yang didakwa diketuainya terbabit aktiviti “Macau scam”.
Ketika dalam persembunyian, dia didakwa tanpa kehadirannya atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sebelum diberikan DNAA.
“Jabatan ini ingin menegaskan Liow tidak pada bila-bila masa dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang,” kata AGC sambil menambah kes itu dijadualkan untuk perbicaraan dalam empat blok tarikh berasingan antara Julai dan September 2023.
Katanya, keputusan itu dibuat selaras kuasa dan budi bicara peguam negara di bawah Perlembagaan “tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam”.






