PDRM tambah 50 anggota PGA, perkukuh kawalan keselamatan KLIA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menempatkan tambahan 50 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), selain menjadikan pengesanan dadah sebagai satu daripada keutamaan utama keselamatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu turut membabitkan peningkatan kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, PDRM juga akan menambah baik prosedur keselamatan sedia ada bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk utama negara.

“PDRM akan meningkatkan kerjasama dengan petugas keselamatan MAHB, AKPS dan Kastam untuk meletakkan dadah sebagai satu lagi keutamaan selain senjata api dan bahan letupan.

“Kita juga akan meningkatkan aspek keselamatan dengan menambah baik prosedur sedia ada,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Menurut beliau, Ketua Polis Negara telah meluluskan penugasan tambahan 50 anggota PGA di KLIA.

“Ketika ini seramai 69 anggota JSJN sudah ditempatkan di KLIA dan sememangnya terbabit dalam operasi sebelum ini,” katanya.

Hussein berkata, anggota polis akan ditempatkan bersama petugas keselamatan MAHB di lokasi strategik sekitar lapangan terbang, selain memperluaskan rondaan di balai berlepas, kaunter daftar masuk dan kawasan lain yang dikenal pasti.

“Selain rondaan polis di kawasan seperti balai berlepas dan kaunter daftar masuk, penggunaan Unit Anjing Pengesan (K9) juga akan dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, selain memperkukuh penugasan anggota, teknologi saringan keselamatan di lapangan terbang juga perlu dipertingkatkan bagi membantu mengesan cubaan penyeludupan dadah.

“Anggota polis akan bertindak secepat mungkin sekiranya terdapat imej atau bagasi mencurigakan dikesan ketika proses saringan keselamatan.

“Koordinasi berkesan antara semua agensi penguat kuasa penting bagi memastikan tiada kelemahan yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan dadah,” katanya.

Tambah beliau, PDRM turut akan memperkukuh perkongsian maklumat antara agensi serta menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah dan bukan hanya tertumpu kepada sesuatu kes semata-mata.

Katanya, kerjasama antara PDRM, Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) dan AKPS telah lama dilaksanakan dan akan terus diperkasakan.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera bagi memperkukuh keselamatan penerbangan, termasuk penempatan anggota PDRM dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img