SKOP pemeriksaan bagasi di lapangan terbang akan diteliti, termasuk keupayaan mengesan barangan kontraban, selain terbuka untuk menggunakan peralatan lebih canggih bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemeriksaan bagasi ketika ini dilaksanakan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), dengan keutamaan diberikan terhadap ancaman berkaitan persenjataan mengikut standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Pemeriksaan bagasi dibuat oleh AVSEC, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan keutamaannya adalah sesuai dengan standard pemeriksaan lapangan terbang antarabangsa di bawah ICAO.
“Jadi tumpuan keutamaannya lebih kepada senjata. Senjata api, senjata tajam, bom dan segala macam. Ini kejadian kontraban,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perlepasan Jelajah Star City FC – The Pride of the North 2026 di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Saifuddin berkata, berdasarkan taklimat yang diterimanya, mesin pengimbas sedia ada mempunyai keupayaan tinggi untuk mengesan barangan tertentu, namun skop pemeriksaan ketika ini lebih tertumpu kepada elemen persenjataan.
Beliau memberitahu, keupayaan pegawai yang mengendalikan mesin berkenaan turut perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh pemeriksaan.
“Dia tak ada kurangnya dari segi mesin imbas, tak ada. Kami diberi faham, diberi taklimat. Saya diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
“Mesin imbas kita ada keupayaan semuanya. Tapi cuma dari sudut skop pemeriksaan itu, tumpuan lebih kepada elemen persenjataan. Jadi elemen kontraban walaupun dikesan. Jadi kami tengok ini antara aspek penambahbaikan yang kami kena tumpukan sesuai dengan kepakaran pegawai yang memeriksa,” katanya.
Mengulas kemungkinan mesin pengimbas turut ditambah baik, Saifuddin berkata kerajaan tidak akan hanya bergantung kepada peralatan sedia ada, sebaliknya sentiasa terbuka terhadap perkembangan teknologi baharu.
“Yang mesin imbas yang sedia ada, yang saya sempat tengok sebelum ini pun, belum kejadian ini pun, mesin imbas yang memang ada keupayaan tinggi, yang mampu untuk mengesan.
“Cuma, sudah pasti pegawai yang man the machine itu satu perkara lain. Tapi apakah ke arah ke depan nanti, kita akan hanya statik dengan mesin yang sedia ada? Tentunya tidak.
“Sebab di luar sana, dalam sistem pemeriksaan pintu masuk lapangan terbang ini, pelbagai peralatan yang jauh lebih canggih, lebih keupayaan tinggi. Jadi, kita sentiasa terbuka terhadap idea untuk mengguna pakai segala jenis kelengkapan baru,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan akan meneliti keseluruhan aspek berkaitan bagi mengenal pasti punca kelemahan serta langkah segera yang boleh diambil untuk mengatasinya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi memperincikan pelan komprehensif penambahbaikan aspek keselamatan dan pemeriksaan di lapangan terbang negara.
Menurut beliau, mesyuarat itu akan membabitkan kepimpinan KDN sebagai tindakan susulan terhadap arahan Jemaah Menteri supaya kementerian berkaitan mengemukakan pelan penambahbaikan berkenaan.
“Esok saya akan mengadakan mesyuarat melibatkan pimpinan perwakilan kementerian di KDN. Saya difahamkan rakan saya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah tentu juga membuat perkara yang sama.
“Kerana tugasan itu diberikan untuk kami mengemukakan pelan komprehensif. Esok sebelah pagi saya akan mengadakan pertemuan khusus sebagai melaksanakan arahan Jemaah Menteri,” katanya.
Saifuddin menambah, arahan menyediakan pelan komprehensif itu diputuskan selepas Jemaah Menteri mengadakan perbincangan panjang mengenai insiden yang berlaku beberapa hari lalu.
Katanya, kementerian terbabit, termasuk KDN dan Kementerian Pengangkutan (MoT), diminta mengemukakan pelan berkenaan dalam masa terdekat.
“Kerana berlaku insiden yang diketahui beberapa hari lepas. Maka Jemaah Menteri yang bersidang pada hari Rabu (telah mengadakan) perbincangan panjang.
“Pada akhir perbincangan dibuat satu ketetapan. Iaitu kementerian yang terlibat termasuklah KDN dan juga MoT diminta untuk mengemukakan satu pelan komprehensif penambahbaikan. Tujuan untuk mitigasi kejadian yang berlaku. Aspek operasinya, aspek peralatannya, aspek sumber manusianya, penyelarasannya,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan akan meneliti keseluruhan aspek bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah segera yang boleh dilaksanakan.
“Jadi kita akan tengok semua. Di mana punca berlaku dan bagaimana kita boleh atasi segera. Sebab ini melibatkan pintu masuk, melibatkan imej negara, melibatkan keselamatan dan sebagainya,” katanya.






