PEMANDU Ferrari yang tular dalam media sosial dipukul pemandu Perodua Aruz di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) meminta penyerangnya memikirkan keluarga sebelum mengambil tindakan yang boleh memakan diri sendiri.
Ahli perniagaan, Tiang How Soon, 40, berkata, dia tidak berniat untuk mencetuskan kekecohan malah insiden itu berlaku tanpa sebarang pelanggaran antara kedua-dua kenderaan dan sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik tanpa membabitkan keganasan fizikal.
Beliau berkata, kejadian itu membuatkan anak kecilnya berusia empat tahun ketakutan dan dia percaya anak kecil penyerang yang juga ada di dalam kenderaan berasa takut melihat tingkah-laku lelaki itu.
“Saya tengok dalam kereta dia pun ada keluarga, dia pun ada bawa anak kecil. Jadi sepatutnya dia boleh berbincang dengan saya. Kalau kes kecil macam ini dia pukul orang sampai mahu masuk penjara berbaloi kah?. Kasihan pada keluarga dia nanti.
“Saya pun tak boleh nak komen banyak sebab polis sedang jalankan siasatan. Jadi sebagai seorang bapa, orang yang ada keluarga jadi saya pun tak mahu keluarga dia bermasalah nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Biro Aduan Awam DAPSY Selangor di Kajang hari ini, lapor BH.
Menceritakan semula insiden itu, How Soon berkata, ketika kejadian dia bersama anak dan isteri menyertai konvoi kereta dalam perjalanan ke Melaka namun mereka ketinggalan di belakang selepas keluar dari stesen minyak.
Katanya, dia sedang memandu pada kelajuan kira-kira 120 kilometer sejam sebelum menukar laluan dari kanan ke kiri bagi mengelak kenderaan yang berhenti mengejut di hadapan.
“Saya cuba brek tetapi saya risau tidak sempat berhenti dan melanggar kereta depan, jadi untuk elak kemalangan lagi besar sebab itu saya tukar lorong.
“Saya tengok cermin sisi saya nampak Aruz itu ada jarak lebih kurang dua ke tiga kereta lagi. Jadi saya berhenti di lorong tengah dan kereta dia sampai, tak ada kemalangan pun tetapi dia marah-marah, dia jerit dekat bahagian penumpang saya.
“Saya cuba jelaskan ada kereta berhenti secara cemas sebab itu saya elak tetapi dia terus marah.
“Dia marah dan mencarut, saya minta dia jangan begitu kerana saya ada anak kecil, dia sudah takut. Jadi saya turun dari kereta dan ketika itu ada beberapa orang lain yang cuba bantu tetapi tiba-tiba dia pukul saya. Dia sepak saya, dia tumbuk muka saya,” katanya.
Menurutnya, insiden itu yang tular dalam media sosial menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya dan komuniti penggemar kereta jadi dia tampil untuk menjelaskan perkara yang berlaku.
Katanya, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan menjelaskan ketika kejadian mereka bukan sedang berlumba atau memandu secara melulu malah sekadar mengelak daripada berlaku kemalangan lebih besar.
Ahli perniagaan itu berkata, ketika kejadian dia cuba menenangkan situasi dengan berbincang secara rasional namun penyerangnya itu ternyata terlalu marah dan bertindak melulu.
Terdahulu media melaporkan, polis sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang disyaki memukul pemandu Ferrari dalam kejadian pergaduhan di tengah Lebuhraya PLUS yang tular dalam media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.40 petang itu daripada salah seorang pemandu yang terbabit dalam insiden tersebut.






