PRN Melaka: Tak semestinya kita berunding, jadi rakan kongsi sejati – Ab Rauf

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini menjelaskan, rundingan persefahaman politik antara parti komponen itu dengan parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak semestinya dimuktamadkan sebagai rakan kongsi sejati.

Ketua Menteri Melaka itu sebaliknya berkata, beberapa faktor akan diambil kira dalam perbincangan itu kelak terutamanya yang memberi kelebihan kepada BN, termasuk kekuatan, kelemahan dan kelebihan setiap parti, selain menilai langkah terbaik bagi membantu parti gabungan memenangi kerusi yang ditandingi.

Beliau berkata, BN Melaka terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti menerusi perbincangan yang lebih formal berbanding perbincangan di media sosial yang disifatkan tidak mempunyai jalan penyelesaian.

“Mana-mana parti yang menyimpan hasrat untuk bersama (dalam PRN), saya akan buatkan satu ruang yang terbuka untuk berunding.

“Tak semestinya rundingan itu dimuktamadkan menjadi rakan kongsi yang baik, kerana banyak faktor untuk kita menjadikan seseorang itu sebagai rakan kongsi kita kerana melalui konsep BN Plus yang diperkenalkan sebelum ini, akan menghasilkan satu gabungan politik yang cukup baik pada Melaka.

“Saya tegaskan, kita jangan buat rumusan dalam apa jua perbincangan yang tidak rasmi. Kali ini, biarlah kerjasama kita ibarat `bernikah biar berkadi, biar bersaksi’,” katanya selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh hari ini.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, gabungan parti itu masih membuka ruang rundingan pengagihan, malah pertukaran kerusi, untuk menghadapi PRN Melaka akan datang, asalkan dibuat secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika menekankan perkara berkenaan, prinsip asas rundingan adalah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu saja kepada rakan politik.

Ab Rauf dalam pada itu berkata, setakat ini belum ada mana-mana parti menemuinya atau Presiden UMNO untuk mengadakan rundingan mengenai persefahaman politik itu.

Mengulas kenyataan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang turut berminat mengadakan rundingan berkenaan, beliau berkata BN mengalu-alukannya, namun menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dari sudut moral berikutan tindakan gabungan parti berkenaan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bulan lalu.

“Saya tak buat keputusan apa-apa pun, yang pastinya pada sudut moral, terserahlah pada pandangan (pengundi) dan kita tidak buat keputusan siapa juga sekali pun (boleh sertai rundingan). Pastinya kita mempunyai pilihan kita yang tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf ketika ditanya tarikh sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) menjawab ringkas, “bila buah masak, baru kita tuai”.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here