JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan memfailkan permohonan prosiding inkues berhubung kematian tiga lelaki dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, dua hari lagi bagi mendapatkan tarikh pendengaran dan tindakan lanjut.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, keputusan mengadakan inkues berhubung kes itu sudah dibuat dan proses berkenaan akan berjalan mengikut prosedur mahkamah.
“Keputusan sudah dibuat untuk inkues. Kita akan fail untuk inkues dalam dua hari lagi untuk mendapatkan tarikh dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini, lapor Harian Metro.
Mengulas sama ada siasatan polis akan dihentikan sepanjang prosiding inkues berlangsung, beliau berkata, siasatan polis sudah dilengkapkan buat masa ini.
“Kita sudah melengkapkan siasatan buat masa ini. Keputusan sudah dibuat untuk inkues.
“Proses inkues akan berjalan seperti kes di Sabah, adik Zara Qairina Mahathir dan ia akan melalui proses mahkamah yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, semua anggota polis yang terbabit dalam insiden berkenaan akan dipanggil sebagai saksi dalam prosiding inkues.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan supaya prosiding inkues diadakan bagi menyiasat kematian tiga lelaki dalam insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan prosiding itu bertujuan menentukan punca dan sebab kematian selain meneliti fakta serta keadaan yang membawa kepada kematian ketiga-tiga individu berkenaan.
Prosiding itu turut bertujuan mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Insiden berkenaan menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an itu mengalami kecederaan serius pada lengan kiri.





