KETUA Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menggamatkan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor apabila memanggil Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ‘adinda’ ketika sesi perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
“Amirudin adalah adindaku, Ng Suee Lim (Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan) adalah sahabatku, George (ADUN Sentosa) adalah temanku. Amanah adalah peganganku. Kekal tenang adalah prinsip aku. Kak Yam (ADUN Mariam Abdul Rashid) kenalanku.
“Marilah kita wujudkan Selangor yang semakin sukses dan baik di masa depan. Maju negerinya, sejahtera rakyatnya, bersatu kita rakyat Selangor,” ucap Mohamed Azmin dalam perbahasan itu pada Persidangan DUN Selangor di Shah Alam hari ini.
Penutup perbahasan yang dilihat ‘mesra’ kerajaan negeri itu bukan sahaja menggamatkan dewan malah mengejutkan pihak media yang membuat liputan susulan desas-desus penjajaran politik baharu di Selangor.
Mohamed Azmin menitipkan pesanan itu kepada Amirudin ketika landskap politik negara kembali hangat dengan pelbagai spekulasi mengenai penjajaran baharu parti politik.
Beliau berkata, Amirudin perlu terus tenang dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Selangor tanpa membenarkan polemik politik menjejaskan hala tuju negeri.
Malah, beliau menegaskan sokongannya kepada Amirudin untuk terus memacu pembangunan negeri.
“Anda tidak berseorangan. I am always here for Selangor!,” kata ADUN Hulu Kelang itu.
Beliau turut menegaskan Selangor perlu terus dibangunkan berasaskan penyatuan yang membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat, bukannya perpecahan atas nama kepentingan politik atau kaum.
Ini termasuk tidak membiarkan fahaman yang menghalalkan kleptokrasi dan kebobrokan atas nama penyatuan Melayu bertapak di negeri itu.
“Keadaan politik bertambah gila apabila ada pula kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat.
“Atas nama penyatuan Melayu kononnya, Melayu kini berpecah. Apabila Melayu berpecah, mereka salahkan kaum lain untuk menutup kepalsuan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin mahu pertumbuhan ekonomi terutama Keluarkan Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor kekal tinggi untuk memastikan limpahan ekonomi ini dimanfaatkan oleh rakyat di Tanjong Karang, Kuala Selangor, Kuala Langat dan tidak tertumpu di Petaling Jaya dan Subang sahaja.
“Komunikasi yang betul dan tepat penting untuk rakyat memahami dan menerima baik dasar Kerajaan Negeri. Tingkatkan penerangan dan Unit Media Kerajaan Negeri.
“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita membina Negeri Selangor yang maju dan makmur,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor enggan mengesahkan sama ada ucapan itu merupakan kiasan kepada jajaran politik antara parti Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.
” Saya tidak sebut pun apa-apa, cuma dia adinda sebab dia muda dari saya. (Namun lihat gembira sahaja) Saya sentiasa happy dan kekal tenang,” jelasnya.
Pada Jumaat lalu, Amirudin dilaporkan berkata, kerjasama politik antara parti yang membentuk jajaran baharu boleh diumpamakan seperti sebuah perkahwinan yang mempunyai tempoh tertentu sebelum berakhir.
Naib Presiden PKR itu berkata, politik ketika ini sangat dinamik dan mencabar apabila wujud keadaan parti yang bekerjasama dalam pentadbiran, namun kembali bersaing apabila tiba musim pilihan raya.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu memerlukan kematangan politik dalam memastikan kestabilan terus dipelihara selain mengutamakan kepentingan rakyat.





