Pesara guru diarah bayar ganti rugi RM88,069 kes tampar pelajar 4 kali

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini mengarahkan seorang pesara guru membayar ganti rugi keseluruhan sebanyak RM88,069 kepada pelajar yang ditampar sebanyak empat kali ketika sesi pembelajaran, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Rosli Yusoff membuat keputusan itu selepas mahkamah membenarkan tuntutan saman sivil yang difailkan mangsa melalui ibunya terhadap guru berkenaan serta tiga defendan lain.

Mangsa, Mohamad Adam Maidin, 21, dan ibunya, Noor Azleen Mohamad, 47, sebagai plaintif memfailkan saman terhadap guru terbabit, Isamuddin Ismail, 63, yang juga Penolong Kanan Pentadbiran dengan menamakannya sebagai defendan pertama.

Dalam keputusannya, Mohd Rosli berkata, guru terbabit didapati melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar muka dan kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan serta kiri dari arah belakang.

Mahkamah juga mendapati guru berkenaan sebagai seorang pendidik mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati ke atas pelajar, katanya, lapor BH.

Mohamad Adam ketika kejadian pada 28 Januari 2019 adalah pelajar tingkatan dua dan berusia 14 tahun.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa didakwa sedang berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru terbabit datang dari arah belakang dan menamparnya dengan kuat sebanyak empat kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada muka dan kedua-dua telinga selain mengadu pening, kurang pendengaran serta bunyi berdesing dalam telinga.

Ibunya kemudian membawa mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Berek 12 sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk pemeriksaan pakar telinga.

Laporan perubatan dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati mangsa mengalami masalah pendengaran di telinga kanan termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana yang didiagnosis sebagai kecederaan akibat trauma dipercayai ditampar.

Susulan kejadian itu, mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa berpindah sekolah kira-kira sebulan kemudian kerana takut untuk kembali ke sekolah dan berhadapan dengan guru terbabit.

Sementara itu, peguam yang mewakili plaintif, Mohd Syukran Mohd Noordin berkata, mahkamah membenarkan tuntutan anak guamnya terhadap kesemua defendan selepas mendapati terdapat kecuaian serta tanggungjawab yang perlu dipikul berhubung kejadian tersebut.

“Jumlah RM88,069 yang diperintahkan mahkamah itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan dan RM11,250 ganti rugi teruk selain faedah serta kos sebanyak RM20,000,” katanya.

Saman sivil itu difailkan melalui Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.

Menerusi tuntutan berkenaan, mangsa turut menamakan pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here