PN cadang Sidang Khas Parlimen berkait RCI TH ditangguhkan

PERIKATAN Nasional (PN) mencadangkan Sidang Khas Parlimen yang dijadualkan esok bagi membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) ditangguhkan ke tarikh yang lebih sesuai.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan perkembangan terkini membabitkan keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PN telah menghantar sepucuk surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi memohon penangguhan sidang tersebut dan surat permohonan itu telah diterima secara rasmi oleh pihak pejabat beliau pada hari ini, 10 Ogos 2026.

“Memandangkan isu TH merupakan perkara yang sangat penting dan melibatkan kepentingan awam, PN berpandangan bahawa adalah amat wajar sekiranya pembentangan laporan ini dibuat sendiri oleh Perdana Menteri.

“Ini kerana, Perdana Menteri sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kehadiran Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI itu amat signifikan.

“Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri sendiri sebelum ini,” katanya.

Hari ini, Anwar dilapor menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.

Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI TH dijadual berlangsung esok, dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Sesi perbahasan itu kemudian dijangka digulung oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here