TLDM akan terus diperkasa dengan aset moden – Mohamed Khaled

KEMENTERIAN Pertahanan akan terus memperkasa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk menyediakan kelengkapan aset moden dan berkeupayaan bagi menghadapi persekitaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan komited memastikan TLDM mempunyai keupayaan yang diperlukan bagi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim negara.

GAMBAR: Facebook Khaled Nordin

“Dalam persekitaran keselamatan maritim yang semakin kompleks, TLDM perlu terus dilengkapi dengan aset moden dan berkeupayaan.

“Kerajaan komited untuk memastikan TLDM mempunyai keupayaan yang diperlukan bagi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan maritim negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian bersempena dengan pelancaran kapal ketiga kelas Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) TLDM yang dinamakan Tunku Osman Jewa dilancarkan di Istanbul, Turkiye semalam.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, penamaan kapal itu mengabadikan legasi kerabat diraja Kedah dan anak watan yang pernah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera, Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berkenan berangkat ke majlis penamaan dan pelancaran kapal berkenaan.

Pelancaran ‘Tunku Osman Jewa’ melengkapkan siri pembinaan ketiga-tiga kapal LMSB2 selepas pelancaran ‘Tunku Laksamana Abdul Jalil’ pada 24 Mei dan ‘Raja Laut’ pada 7 Jun lalu.

Mohamed Khaled berkata, program itu turut mencatat sejarah sebagai kerjasama kerajaan dengan kerajaan pertama antara Malaysia dengan Turkiye dalam perolehan kapal perang TLDM.

“Ketiga-tiga kapal dijangka diserahkan kepada TLDM menjelang akhir 2027. Perolehan LMS Batch 2 ini merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan armada TLDM menerusi Pelan Transformasi 15-to-5,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here