Akibat penyelewengan, kerajaan terpaksa ‘bail out’ lebih RM10 bilion selamatkan Tabung Haji – Dr.Zulkifli

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Tabung Haji (TH) mendapati salah laku dan penyelewengan seperti pengisytiharan agihan keuntungan tidak selaras dengan kehendak Akta Tabung Haji.

Disebabkan keadaan itulah kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan demi menjaga kepentingan pendeposit dan mempertahan maruah institusi Islam itu,  kerajaan telah berusaha sedayanya menyelamatkan TH dengan bail out melebihi RM10 bilion akibat kerakusan penyelewengan.

‘’Bayangkan dengan wang melebihi RM10 bilion ini, kerajaan boleh membina puluhan dan ratusan hospital, sekolah, masjid dan pelbagai kemudahan keperluan rakyat dan umat Islam,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Laporan RCI TH pada Mesyuarat  Khas Dewan Rakyat hari ini.

Dr.Zulkifli berkata, RCI mendapati agihan keuntungan sebelum 2018 tidak mencerminkan prestasi kewangan sebenar TH dan melanggar Akta Tabung Haji yang mensyaratkan aset perlu melebihi liabiliti (termasuk kumpulan dana pendeposit).

‘’Penyata kewangan telah dimanipulasi bagi menunjukkan keuntungan yang tinggi dan memanipulasi penilaian aset di luar penyata kewangan diaudit menggunakan kaedah Realisable Asset Value (RAV) yang tidak mematuhi piawaian perakaunan untuk menunjukkan nilai aset lebih tinggi dari liability,’’ katanya.

Beliau  menjelaskan, manipulasi itu dibuat bagi membolehkan TH mengumumkan agihan keuntungan tinggi melalui penggunaan perakaunan kreatif, pelanggaran standard perakaunan Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) dan perubahan polisi rosot nilai yang tidak memberi gambaran adil dan benar.

‘’Manipulasi kewangan ini telah disahkan oleh firma audit PwC di dalam laporan pada tahun 2018. Ingin ditekankan di sini bahawa pada akhir tahun 2018, EY telah membuat kenyataan bahawa EY bukan juruaudit TH dan tidak terlibat dengan penilaian aset TH.

‘’EY hanya dilantik untuk menyemak penyata proforma yang disediakan oleh TH. Malah, PwC mendapati hanya RM556 juta daripada jumlah aset RM4.6 bilion dinilai oleh penilai profesional,’’ katanya.

Beliau berkata, tindakan tersebut diambil semata-mata bagi membolehkan TH mengumumkan agihan keuntungan yang tinggi walaupun prestasi kewangan adalah sebaliknya dan TH tidak solven.

‘’Keputusan ini merupakan satu ketidakpatuhan yang ketara kerana TH mengagihkan keuntungan tinggi apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti berkembang jelas melanggar Akta Tabung Haji. Ia juga boleh menjejaskan kelestarian kewangan TH bagi generasi akan datang,’’ katanya.

Selain itu, Dr.Zulkifli berkata, RCI TH berpendapat masalah yang dihadapi TH adalah disebabkan kelemahan tadbir urus terutamanya dalam pelantikan barisan kepimpinan, selain kuasa  yang luas menteri bertanggungjawab.

‘’ RCI TH membangkitkan isu lantikan ahli politik aktif sebagai amalan yang tidak wajar dalam mentadbir TH dan mengesyorkan agar tiada lagi lantikan sebegini berlaku di institusi seperti TH.

‘’Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah pelantikan ahli politik yang aktif dalam barisan kepimpinan TH. RCI menyatakan bahawa amalan dan sikap sebegini tidak patut berlaku dan tidak sepatutnya terus berlaku di TH di masa hadapan,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here