AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Megat Hashirat Hassan meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian parti Bersatu Arau, berkuat kuasa semalam.
Peletakan jawatan Megat Hashirat dimaklumkan menerusi surat bertarikh 10 Ogos 2026 (semalam) yang ditujukan kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, hari ini.
“Ya, benar,” katanya ringkas.
Menerusi surat berkenaan, Megat Hashirat memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa parti serta pertimbangan sewajarnya.
Beliau turut menyifatkan, keputusan itu sebagai pertimbangan peribadi, selain merakamkan penghargaan kepada kepimpinan serta ahli Bersatu Bahagian Arau atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau menjalankan amanah.
Megat Hashirat adalah ADUN Pauh dan antara empat wakil rakyat Bersatu yang menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kerajaan negeri Perlis.
Pada 9 Julai lalu, Abu Bakar turut mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi memberi tumpuan kepada pentadbiran kerajaan negeri Perlis.
Pada hari sama, Setiausaha Bersatu Perlis yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Azahar Hassan mengumumkan keluar daripada parti itu dan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Turut meletakkan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu ialah Exco kerajaan negeri Perlis, Marzita Mansor.





