SEORANG penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan rogol dan memiliki rakaman bahan penganiayaan seksual seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Mei lalu.
Tertuduh berusia 18 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki satu rakaman video bahan penganiayaan seksual seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun dalam telefon bimbit miliknya di tepi jalan semak Kampung Batu Putih, Kota, Rembau, kira-kira jam 1 pagi pada 24 Mei lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama di kawasan semak samun di tepi Jalan Mambau-Rantau berhampiran Pedas, Rembau, kira-kira jam 1 pagi pada 27 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan.
Peguam Md Ridzuan Othman memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh masih seorang pelajar dan tidak mempunyai pendapatan.
Katanya, tertuduh merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bergantung kepada kakaknya yang bekerja sebagai eksekutif sebuah hotel dengan pendapatan RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.
Antara syarat dikenakan ialah tertuduh tidak mengganggu mangsa, melaporkan diri di balai polis terdekat serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 17 September depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi serahan dokumen.





