KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) membatalkan perintah larangan ke atas memoir pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh.
Dalam warta persekutuan yang diterbitkan bulan lalu, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menggunakan kuasanya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk membatalkan larangan ke atas `Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10’.

Beliau turut membatalkan larangan ke atas `Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’, satu lagi memoir yang ditulis ahli PKM, Aziz Suriani, lapor FMT.
Dua buku itu diharamkan kerajaan pada Februari lalu atas alasan ia mengandungi unsur dan ideologi komunisme.
Penerbit Chong Ton Sin kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar larangan itu yang disifatkannya tidak rasional memandangkan dua buku terbabit telah diedarkan bertahun-tahun.
Peguam S Abhilaash yang mewakili Ton Sin berkata, mereka telah menarik balik permohonan itu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Lee Chean Chung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama dari DAP, Jamaliah Jamaluddin yang juga cucu Shamsiah pernah mengkritik larangan itu.
Jamaliah dilaporkan berkata, memoir itu memfokuskan perjalanan hidup dan pengalaman neneknya tanpa mencetuskan sebarang aktiviti ekstremis, justeru beliau kecewa dengan tindakan `tidak berasas’ kerajaan.





