‘’Berapa banyak wang ummah TH diguna bayar hutang 1MDB’’ – tanya Amirudin

DATUK Seri Aminudin Shari mempersoalkan pembelian 30% kepentingan dalam Putrajaya Perdana Bhd oleh Lembaga Tabung Haji (TH)  pada November 2014 serta pelantikan Pengerusinya ketika itu sebagai Pengerusi syarikat berkenaan pada Januari 2015.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, persoalan tersebut perlu diteliti susulan kaitan aliran dana daripada SRC International kepada beberapa syarikat berkaitan Putrajaya Perdana.

“Soalan saya, secara keseluruhannya, berapa banyak wang simpanan ummah TH telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB untuk menutup salah laku syarikat sejak tahun 2014.

“Dan apakah laporan penilaian pelaburan yang digunakan oleh pihak pengurusan TH serta adakah terdapat desakan politik untuk duit ini digunakan tanpa mematuhi syarat dan kriteria pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai TH hari ini.

Aminudin turut mempersoalkan pertindihan peranan individu yang memegang jawatan dalam TH ketika mempunyai kaitan dengan syarikat terlibat 1MDB dan SRC International.

“Jika wang pendeposit TH terlibat dalam urusan berkenaan, ia merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap pendeposit.

“Saya kaitkan ini kerana ia telah bercantum dan berhubung dengan skandal yang besar, yang turut mencalarkan imej nasional yang dinamakan 1MDB dan ada kaitan aroma yang jelas keterlibatan dan pengaliran sepertimana diputuskan oleh mahkamah terutama melibatkan SRC International,’’ katanya.

“Jika ia melibatkan wang TH, ia adalah satu penggabungan dan pengkhianatan kepada masyarakat…tabung dana ini digunakan untuk menutup satu kesalahan kepada satu kesalahan dan ini sewajarnya diambil tindakan yang tegas,” katanya.

Sehubungan itu , beliau menggesa kerajaan  menubuhkan  pasukan siasatan khas rentas agensi bagi menyiasat dakwaan salah laku dan penyelewengan dalam TH termasuk kemungkinan kaitan pelaburannya dengan skandal 1MDB.

 Amirudin berkata pasukan itu perlu melibatkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta agensi berkaitan jenayah kewangan komersial.

Katanya, isu didedahkan RCI bukan sekadar membabitkan kemungkinan pelanggaran Akta Tabung Haji, malah menjejaskan imej negara dan institusi Islam itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here