Siasat menyeluruh…elak isu TH terus jadi medan tuduh menuduh – Armizan

LAPORAN dan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disusuli siasatan penuh agensi penguatkuasaan secara telus, bebas dan profesional.

Ketika menegaskan perkara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020 sekian lama menjadi pertikaian serta medan tuduh-menuduh sehingga dakwaan ‘fitnah’ digunakan secara meluas oleh pelbagai pihak.

‘’Keadaan itu menyukarkan orang ramai menentukan siapa sebenarnya menjadi mangsa fitnah dan siapa pula yang memfitnah sehingga sebahagian besar rakyat semakin keliru,’’ tegasnya ketika sesia perbahasan pada Sidang Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan RCI TH

Tegasnya, pertikaian berpanjangan itu juga seolah-olah menenggelamkan dua isu lebih utama, iaitu keperluan menyelamatkan TH yang mengurus tabungan 9.7 juta pendeposit termasuk 597,983 dari Sabah serta penggunaan dana awam bagi tujuan berkenaan.

“Sungguhpun tindakan itu (guna dana awam) adalah satu keperluan, namun implikasi beban tanggungan itu perlu diurus dan akan diwarisi untuk tempoh yang panjang.

“Hakikatnya beban ini telah menutup ruang fiskal tambahan diperlukan antaranya untuk membina lebih banyak keperluan infrastruktur dan menyediakan bantuan tambahan sara hidup rakyat,” katanya.

Armizan berkata tindakan selanjutnya seperti siasatan di peringkat agensi penguatkuasaan perlu dilakukan terutama ketika wujud perbahasan dan kesimpulan di luar.

“Asasnya, sebarang siasatan perlu dilaksanakan dengan telus, bebas dan penuh profesionalisme untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua dan tidak ada mana-mana pihak teraniaya.

“Paling penting hak dan keadilan untuk sekalian rakyat dan pendeposit Tabung haji dapat ditegakkan,” katanya.

Beliau juga menegaskan, laporan RCI turut menimbulkan persoalan terhadap integriti laporan audit dipersembahkan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta pendirian kerajaan berhubung isu audit yang penting seperti termaktub dalam Perkara 105, 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan, dengan meletakkan parameter jelas akan tanggungjawab dan mandat yang diberikan kepada ketua audit negara.

Dalam konteks pentadbiran semasa, Armizan berkata antara perubahan dilaksanakan adalah keputusan setiap Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bukan hanya perlu dibentangkan di Parlimen, malah ruang perbahasan bagi setiap laporan telah dibuka dan menjadi salah satu agenda aturan urusan mesyuarat di Parlimen.

“Bermula Jun 2023, LKAN ini kita bahaskan dan dijawab secara terbuka, saya sendiri pernah menjawab isu audit yang dibangkitkan melibatkan tanggungjawab KPDN,” katanya yang menyambut baik

usaha Jabatan Audit Negara memperkenalkan Auditor General Dashboard (AGD) yang memberikan akses kepada dapatan dan tindakan susulan audit yang dilakukan.

Armizan turut menggesa kerajaan menyediakan kerangka perundangan dan tadbir urus lebih kukuh bagi menghentikan amalan yang disifatkannya sebagai ‘gali lubang, tutup lubang’ dalam pengurusan kewangan badan berkanun dan kerajaan.

Beliau memberi amaran keputusan kewangan yang dibuat untuk meraih populariti jangka pendek boleh menyebabkan negara menanggung kesan lebih besar pada masa depan.

“Keputusan untuk menggali lubang dengan menghidangkan rakyat dengan manisan untuk meraih populariti singkat hakikatnya akan membuka lubang amat dalam dengan jurang pendapatan dan hutang negara yang semakin melebar.

“Amalan ini perlu dinoktahkan kerana hakikatnya ia adalah penyakit yang akan membinasakan masa depan negara dan rakyat khususnya generasi akan datang,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here