SEORANG lelaki yang merayu supaya hukuman penjara 16 tahun kerana menyebabkan kematian anak perempuannya berusia dua bulan dikurangkan, sebaliknya dihukum penjara maksimum 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini.
Danial Iman Sharif, 25, memohon hukuman lebih ringan dikenakan namun panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk K Muniandy menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan tempoh pemenjaraannya.
Peruntukan itu memberi kuasa kepada Mahkamah Rayuan untuk mengesahkan, membatalkan atau mengubah keputusan mahkamah perbicaraan.
Hakim Hayatul Akmal ketika menyampaikan keputusan itu berkata, mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan tersebut dan kepentingan awam perlu diberi keutamaan.
“Fakta kes menunjukkan dia berulang kali mendera kanak-kanak itu,” katanya.
Beliau turut menyatakan tempoh pemenjaraan yang panjang akan memberi Danial Iman masa untuk menginsafi perbuatannya.
Tertuduh masih mempunyai satu lagi peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.
Pada 29 Januari 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadapnya selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kematian anaknya, bagi kesalahan yang tidak terjumlah kepada pembunuhan.
Danial Iman didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang antara 30 dan 31 Julai 2022. Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda mengikut Kanun Keseksaan.
Hakim perbicaraan Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 1 Ogos 2022.
Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha berhujah, mangsa ketika itu baru berusia 55 hari, tidak mampu mempertahankan diri dan bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk melindunginya.
Menurutnya, perbuatan Danial Iman sangat kejam kerana dia berulang kali menjaga bayi itu secara ganas, termasuk mencampaknya sehingga terhantuk pada lantai dan kemudiannya pada sebuah meja.
Sarulatha berkata, hasil bedah siasat dan bukti forensik mendapati bayi berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di kepala yang berpunca daripada hentakan objek tumpul.
“Pakar patologi forensik memberi keterangan bahawa kecederaan yang membawa maut itu dilakukan oleh seorang individu sahaja,” katanya.
Beliau turut menegaskan pengakuan bersalah Danial Iman tidak bermakna dia secara automatik berhak mendapat pengurangan hukuman.
Peguam K A Ramu yang memohon hukuman lebih ringan pula berhujah anak guamnya telah menjimatkan masa dan sumber mahkamah dengan mengaku bersalah.
Beliau turut berkata, Danial Iman baru berusia 21 tahun ketika kesalahan itu dilakukan dan sepatutnya diberi peluang untuk menjalani pemulihan.





