Pembakaran tapak pelupusan sampah haram: 4 termasuk 3 warga asing ditahan

POLIS menahan empat lelaki termasuk tiga warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sebuah premis kitar semula barangan lusuh yang dipercayai beroperasi secara haram di Jalan Kempas Lama-Seelong, Johor Bahru sejak lima tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kesemua suspek berusia antara 31 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.30 pagi Ahad lalu.

Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati tiga warga asing itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Seorang warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan direman empat hari bermula semalam, manakala tiga warga Bangladesh ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama dan direman 14 hari,” katanya kepada media selepas lawatan bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan di lokasi kejadian hari ini, lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan lebih 10,000 penduduk di empat perkampungan di Kempas susulan kegiatan pembakaran terbuka di premis itu yang terletak bersebelahan laluan paip gas.

Selain isu pencemaran, penduduk bimbang risiko kebakaran dan letupan membabitkan paip gas berkenaan seperti berlaku di Putra Heights, Selangor tahun lalu.

Sementara itu, kerajaan negeri mengarahkan premis itu ditutup sepenuhnya, susulan pemeriksaan bersepadu mendapati kegiatan pengumpulan dan pelupusan sisa termasuk pembakaran terbuka dijalankan secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, siasatan awal mendapati premis itu beroperasi di tanah seluas 3.64 hektar sejak lima tahun lalu yang asalnya tanah berstatus pertanian disyaki milik warga Singapura.

Katanya, arahan penutupan itu juga dibuat bagi menjamin keselamatan penduduk berikutan premis terbabit terletak kira-kira 150 meter dari laluan paip gas milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Beliau berkata, pemeriksaan bersepadu dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah, polis dan Petronas bagi menyiasat status premis, tanah serta tahap keselamatan di lokasi berkenaan.

“Daripada laporan siasatan teknikal Petronas, keadaan setakat ini adalah selamat dan tidak berlaku sebarang perkara membahayakan saluran paip gas.

“Bagaimanapun, kita akan tutup kawasan ini sepenuhnya untuk keselamatan penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata, semakan PBT mendapati tiada lesen dikeluarkan bagi membolehkan aktiviti berkenaan dijalankan di premis terbabit.

Katanya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut menjalankan siasatan dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 75(5) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Jika bersalah, individu terbabit boleh didenda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Pihak SWCorp sudah menyediakan kertas siasatan dan dalam tempoh tiga bulan ia akan dihantar untuk tindakan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, pejabat tanah turut diminta mengeluarkan notis dan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah selepas mendapati bayaran tanah berkenaan dipercayai tertunggak selama tiga tahun.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here