POLIS telah memanggil empat hingga lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan kerana cuba menyeludup dadah di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan ketika ini memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti rangkaian sindiket yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Beliau berkata, polis masih mengumpul keterangan bagi menentukan sama ada terdapat pihak lain termasuk ‘orang dalam’ yang membantu atau mempunyai pengetahuan mengenai kegiatan individu terbabit.
“Kes ini kita telah panggil antara empat hingga lima orang untuk bantu siasatan dan tumpuan kita lebih kepada sindiket, ahli-ahli sindiket berkaitan.
“Kita dalam siasatan lagi untuk mengenal pasti sebarang kesalahan, adakah mereka ada bantu juruterbang ini ataupun tidak, ataupun mereka tidak tahu penglibatan juruterbang ini dalam sindiket,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Hussein dalam pada itu memberitahu, empat pegawai JSJN yang dihantar ke Jakarta bagi menjalankan siasatan terhadap rangkaian sindiket yang dipercayai mempunyai kaitan dengan juruterbang terbabit.
Menurutnya, semua pegawai terbabit tiba di Jakarta pagi tadi dan dijadual bertemu juruterbang berkenaan selama dua hari bermula esok hingga 13 Ogos.
Kata beliau, pertemuan itu bertujuan mendapatkan maklumat lebih terperinci selain membandingkan hasil siasatan yang diperoleh polis di Malaysia dengan keterangan individu berkenaan.
“Kita juga berkolaborasi dengan Indonesia untuk melihat sindiket antarabangsa di Indonesia yang mana ada kaitan,” jelas beliau.
Hussein bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai kemungkinan pembabitan individu lain.
“Terlalu awal untuk saya dedahkan sama ada orang dalam terlibat ataupun tidak.
“Kalau ada orang lain terlibat, saya perlu ada bukti yang kukuh untuk kata orang dalam terlibat. Pada masa sama, saya pun tidak menafikan orang dalam tidak terlibat,” katanya.





