Lima pemegang pasport Portugal antara ditahan jadi keldai dadah

POLIS mengenal pasti lima individu yang pemegang pasport Portugal antara warga asing yang direkrut sindiket antarabangsa untuk dijadikan keldai dadah bagi membawa bunga ganja dari Malaysia ke Eropah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka itu adalah antara lapan warga asing yang ditahan polis menerusi Op Lejogaster baru-baru ini.

Beliau berkata, selain lima pemegang pasport Portugal, tiga lagi warga asing yang ditahan ialah seorang warga Myanmar dan dua warga Singapura.

“Yang melibatkan kumpulan Portugal, dalangnya adalah warganegara Portugal. Dia mengkoordinasikan dari Eropah lagi mereka yang dibawa, didatangkan ke Malaysia sebagai keldai dadah untuk membawa dadah-dadah ini ke Eropah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun, Hussein berkata, polis akan membuat pengesahan dengan pihak kedutaan bagi menentukan kesahihan kewarganegaraan mereka berdasarkan pasport yang dimiliki.

Beliau berkata, siasatan mendapati individu terbabit dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain, malah ditempatkan di hotel berasingan sepanjang berada di Malaysia.

“Mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Dia tinggal berlainan hotel dan sebagainya. Dia akan tunggu sampai masa sindiket akan beritahu, ‘okay, awak punya bagasi dah ada, awak boleh pergi awak punya destinasi’,” katanya.

Menurut Hussein, keldai dadah berkenaan bersifat bergerak dan dipercayai membawa dadah ke London sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke negara Eropah lain.

Tambah beliau, sindiket pengedaran dadah antarabangsa ini tidak hanya merekrut rakyat Malaysia, sebaliknya individu dari pelbagai negara turut menjadi sasaran.

Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran sindiket termasuk upah lumayan dan percutian percuma yang akhirnya menyebabkan mereka terjerat sebagai keldai dadah.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here