12 individu ditahan samun YouTuber Taiwan, menyamar sebagai polis

POLIS menahan 12 individu termasuk lapan lelaki dan empat wanita yang dipercayai terbabit dalam kes samun berkumpulan serta menyamar sebagai penjawat awam terhadap seorang YouTuber warga Taiwan di sebuah kediaman di Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Jepun pada 1 Ogos lalu berhubung kejadian di Eko Cheras Residence, Cheras.

Beliau berkata, mangsa dalam kejadian itu adalah majikan pengadu, iaitu seorang lelaki warga Taiwan yang bekerja sebagai YouTuber.

“Mangsa telah dipukul dan disamun suspek sehingga mengalami kecederaan serta kerugian kira-kira RM35,000.

“Motif kejadian dipercayai kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi dan perkara itu menjadi pencetus kepada niat jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan itu, operasi khas dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.

Hasil operasi berkenaan, polis berjaya menahan 12 individu di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Fadil berkata, kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia antara 26 hingga 48 tahun.

“Daripada 12 suspek yang ditahan, tujuh telah diberi jamin polis pada 7 Ogos lalu selepas keterangan mereka diambil.

“Manakala, lima suspek masih ditahan reman sehingga 13 Ogos ini bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan.

Katanya, polis kini masih mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan masih bebas.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here