JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) selama 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi menyeragamkan tempoh sah laku pasport berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keputusan itu dibuat susulan isu yang timbul apabila beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi kesulitan ketika mendaftar masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
Katanya, perkara itu sebelum ini telah dirujuk kepada International Civil Aviation Organization (ICAO), dan maklum balas diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun.
“Walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
“Bagi menangani kekeliruan ini, Jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penetapan itu turut bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.
Sehubungan itu, JIM akan menghentikan pengeluaran PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun sehingga isu berkenaan diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan dan ICAO.
Katanya, bagi pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun, mereka akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
“Pemegang PMA yang terlibat akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport,” katanya.
Dalam pada itu, JIM akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.
“JIM komited memastikan pelaksanaan PMA sentiasa ditambah baik bagi memberikan kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur,” katanya.





