POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Balancing’ yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes bunuh seorang lelaki di Banting, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, lelaki terbabit diperlukan bagi membantu siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersabit kejadian di Banting.
“Saksi lelaki warganegara Indonesia yang dikenali sebagai ‘Balancing’ dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit supaya tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.





