SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri dalam serbuan polis berkaitan dadah di Kampung Gong Mak Som di Besut petang ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika sepasukan anggota dari Balai Polis Kampung Raja menjalankan pemeriksaan di kawasan berhampiran sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, semasa pemeriksaan dibuat, seorang lelaki menyedari kehadiran polis sebelum bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dan dipercayai tenggelam serta gagal dikesan.
“Pemeriksaan lanjut di sebuah bangsal kayu berhampiran lokasi kejadian turut menemukan sejumlah pil yang disyaki dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata, setakat ini, maklumat identiti dan butiran lelaki berkenaan masih belum dikenal pasti.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran maklumat tidak sahih.





