KERAJAAN menyokong penganjuran Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) 2026 sebagai usaha memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan dan jaringan perniagaan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persidangan edisi ke-16 itu berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi bernilai tinggi, khususnya kepada usahawan tempatan dan syarikat Bumiputera untuk menembusi pasaran China.

Beliau berkata, hubungan ekonomi yang erat antara Malaysia dan China perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan eksport serta memperluas pasaran produk tempatan, terutama dalam industri halal.
“Saya menyatakan sokongan terhadap penganjuran edisi ke-16 persidangan ini sebagai platform memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan jaringan perniagaan kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur MCEC 2026 yang diketuai penasihatnya, Tan Sri Barry Goh Ming Choon pagi tadi.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh persekitaran perniagaan serta membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan mengembangkan operasi ke pasaran antarabangsa.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan lebih banyak perniagaan tempatan berpeluang menikmati manfaat daripada hubungan ekonomi Malaysia-China, sekali gus meningkatkan daya saing usahawan negara di peringkat global.





