Lelaki ditahan susulan laporan murid Tahun Enam hamil

SEORANG lelaki berusia 28 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang murid Tahun Enam berusia 12 tahun yang disahkan hamil.

Suspek yang bekerja sebagai buruh di sebuah ladang kelapa sawit itu ditahan di sebuah rumah panjang di Kabong, Saratok susulan laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, kes itu mula diketahui selepas ibu mangsa hadir ke sekolah bersama anaknya hari ini untuk memaklumkan mengenai kehamilan berkenaan.

Menurutnya, ibu mangsa turut menyatakan hasrat supaya anaknya berhenti sekolah dan berkahwin dengan lelaki terbabit.

“Pengadu yang juga guru besar sekolah berkenaan kemudian merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok sebelum diarahkan membuat laporan polis memandangkan mangsa masih kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mula berkenalan dengan mangsa sejak pertengahan 2025 sebelum kedua-duanya dipercayai menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini.

“Mangsa mengaku melakukan hubungan seksual bersama suspek sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu,” katanya.

Mangsa dipercayai menyedari dirinya hamil kira-kira seminggu lalu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya semalam.

Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok diketuai Inspektor Henry Muji menjalankan operasi mengesan suspek sebelum menahannya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu didapati negatif dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here