Bekas Pengarah UKMShape didakwa 21 pertuduhan pengubahan wang haram RM1.55 juta

BEKAS Pengarah Pusat Pengurusan Pendidikan Berterusan (UKMShape), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Muhammad Husin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.55 juta.

Tertuduh yang berusia 64 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

TERTUDUH, Datuk Muhammad Hussin mengaku tidak bersalah atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.55 juta, di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Mengikut pertuduhan, Muhammad didakwa melakukan 21 transaksi melibatkan wang berjumlah RM1,552,645.69 antara 2022 hingga 2026 yang merupakan hasil daripada aktiviti menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan bagi kepentingan peribadi termasuk pembelian aset dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Kesalahan asal pula membabitkan dakwaan salah guna kedudukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pada 15 Oktober lalu, Muhammad mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan membabitkan kontrak perkhidmatan bernilai keseluruhan RM3.12 juta.

Pada pertuduhan itu, Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM80,000 dan menetapkan tarikh hari ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Mahkamah hari ini mengambil kira jaminan RM80,000 serta syarat tambahan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Hakim Awang Kerisnada menetapkan 14 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Adam Danial daripada Tetuan A M Zaharil & Co.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here