BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah 75 batang kayu getah pelbagai saiz dan sebuah lori jenis Hino yang keseluruhannya bernilai RM55,000 dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pasir Putih, petang semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dibuat di sebuah stor kayu di Kampung Gajah Mati kira-kira jam 4.30 petang oleh anggota Batalion 7 PGA itu turut menahan seorang pemandu lelaki berusia 22 tahun.

Beliau berkata, lori berkenaan dikesan ketika anggotanya sedang membuat rondaan di Jeram Perdah, sebelum mengekori kenderaan itu yang dilihat membawa muatan kayu itu dalam keadaan mencurigakan.
“Selepas diekori, pemandu lori itu memberhentikan kenderaan di dalam sebuah kilang kayu dan setelah diperiksa pemandunya gagal mengemukakan dokumen berkenaan muatan dibawanya.
“Pemandu lori itu kemudian ditahan manakala 75 batang kayu getah pelbagai saiz bernilai RM15,000 dirampas sebelum dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua kayu yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kayu itu diperoleh daripada pekebun di sekitar Kampung Kubang Batang, Pasir Mas dan dihantar ke kilang kayu di Kampung Gajah Mati di daerah yang sama untuk diproses.
“Lelaki itu menjalankan kerja memindahkan kayu lebih kurang setahun lalu. Dia menggunakan lori bapa saudaranya dan mengambil upah memindahkan kayu berdasarkan permintaan pemilik kebun.
“Pemindahan kayu dibuat tidak mengikut waktu Pejabat Hutan Kelantan selain tiada permit pemindahan kayu sah,” katanya.





