RAPID KL hari ini mengesahkan seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke landasan di Stesen LRT Gombak, pagi tadi.
Syarikat pengangkutan itu dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 9.05 pagi.

“Sejurus insiden berlaku, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa ke landasan juga diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pasukan operasi dan polis bantuan menjalankan tindakan segera.
“Penumpang terbabit berjaya dibantu keluar dari kawasan landasan dan dibawa ke bilik kecemasan sementara menunggu ambulans tiba,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, penumpang berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Tawakal Kuala Lumpur untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Rapid KL berkata, pemeriksaan lanjut mendapati landasan berada dalam keadaan selamat sebelum operasi tren disambung semula pada jam 9.12 pagi.
Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan seorang wanita terjatuh ke atas landasan dalam kejadian pagi tadi.
Gambar wanita tersebut sedang terbaring di atas landasan tular di media sosial dimuat naik pengguna Threads Zeer berhubung kejadian berkenaan.
“Kejadian berlaku di LRT Gombak, harap sis (kakak) ini okey. Penat sangat kot,” menurut kapsyen ringkas pada gambar dimuat naik oleh Zeer.
Dalam masa sama, Rapid KL turut meninggalkan komen pada gambar berkenaan.
“Salam hormat, untuk maklumat, penumpang tersebut telahpun diselamatkan dan sedang diberi rawatan lanjut oleh petugas. Terima kasih,” komen Rapid KL.





